
Di KL Felda Zalim – Di Kedah PAS Beli Saham FGVH?
- July 14, 2012
- Hari ini bersungguh-sungguh PAS dan ahli mereka cuba menjadi hero di Kuala Lumpur dengan mengadakan
‘Himpunan Oren, Selamatkan Felda’.
Hampir keseluruhan yang hadir adalah ahli-ahli PAS semata-mata dan bilangan peneroka boleh dibilang dengan jari kaki.
Disebalik PAS menjadi hero di Kuala Lumpur dengan cuba menzahirkan kononnya peneroka yang selama ni diberikan tanah dan semua macam bantuan oleh kerajaan, termasuk yang terkini durian runtuh dan saham serta jaminan pemilikan tanah mereka kekal dizalimi, wujud dakwaan yang menarik di utara tanah air.
Sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mengelarkan diri mereka Badan Generasi Perihatin 1Malaysia (GP1M) melemparkan satu dakwaan yang menarik ke atas kerajaan PAS negeri Kedah.
Berikut dakwaan itu seperti yang dipetik dari akhbar Berita Harian terbitan hari ini (14 Julai);
BADAN Generasi Perihatin 1Malaysia (GP1M) mendakwa kerajaan PAS Kedah turut memiliki saham FELDA Global Ventures Holdings (FGVH) sebanyak 500,000 unit.
Selain pegangan diperoleh melalui anak syarikat kerajaan negeri, Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK), GP1M juga mendakwa beberapa pegawai kanan kerajaan negeri turut memiliki saham FGVH, kebanyakannya 50,000 unit setiap seorang.
Bendahari GP1M, Mansor Ahmad, sehubungan itu, meminta pihak ‘talam dua muka’ berhenti menghasut anak muda dan peneroka FELDA.
Beliau turut mencabar Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak menjawab persoalan itu serta menasihatkan pembangkang berhenti mempolitikkan isu FGVH.
Katanya, sikap pembangkang bertentangan dengan apa yang dilaungkan mereka ketika menentang FGVH, malah mendakwa PKNK sudah menjual 50,000 unit daripada saham itu.
“GP1M mendapat maklumat orang dalam PKNK sendiri, mereka terima dan turut berasa nikmat FGVH,” katanya ketika ditemui selepas laporan
polis, semalam.
Sumber: Berita Harian
Ini adalah satu tuduhan yang sangat menarik sebenarnya.
Jika GP1M tidak yakin dengan apa yang mereka dakwa, maka sudah pasti mereka tidak berani tampil sebarangan membuat kenyataan kepada media dan membuat laporan polis.
Kalau dakwaan itu satu penipuan, buat apa GP1M hendak serah tengkuk untuk disaman secara percuma oleh kerajaan Kedah.
Mengikut lojiknya, sudah pasti mereka memiliki bukti dan keyakinan yang tinggi bahawa kerajaan PAS Kedah turut memiliki saham FGVH sebanyak 500,000 unit.
Jadi, yang terbaik boleh dilakukan oleh kerajaan Kedah ialah sama ada mengakui kebenaran dakwaan GP1M atau menafikan dakwaan tersebut.
Andai kata dakwaan NGO tersebut sebagai satu penipuan atau tidak berasas, maka buat laporan balas polis dan kemudian saman mereka.
Jangan bagi peluang kalau dakwaan itu satu penipuan.
Namun, andai terbukti dakwaan GP1M itu benar, maka haruslah PAS Pusat tampil memohon maaf kepada kerajaan, kerana setelah puluhan tahun kerajaan mengilhamkan idea Felda, membawa orang Melayu ke tanah rancangan dan memberikan mereka tanah, lot rumah, pelbagai bantuan, bonus, durian runtuh, saham, jaminan pemilikan tanah, secara tiba-tiba PAS muncul mahu menjadi hero yang entah apa-apa.
PAS nyata memalukan diri sendiri andainya kerajaan Kedah terbukti memiliki saham FGVH.
